Insan yang paling mulia bagi setiap manusia selepas Nabi Muhammad SAW adalah ibu. Mulianya mereka bukan sahaja kerana ibulah yang mengandung, melahir, menyusukan kita tetapi juga kerana ketabahan mereka mendidik dan mengasuh anak-anak sehingga dewasa.
Sebab itu, Nabi SAW dalam suatu peristiwa ditanya oleh seorang lelaki sebagaimana hadis bermaksud: Ya Rasulullah! Siapakah yang lebih berhak saya berbuat baik? Jawab Rasulullah SAW: Ibumu. Lelaki itu bertanya lagi: Kemudian siapa lagi? Ujar Baginda: Ibumu. Lelaki itu bertanya sekali lagi: Kemudian siapa lagi? Jawab Baginda: Ibumu. Lelaki itu bertanya lagi: Siapa lagi? Baginda menjawab: Bapamu. (muttafaqun alaih)
Malah, dalam sebuah hadis lain dinyatakan: “Reda Allah bergantung pada reda dua ibu bapa, dan murka Allah bergantung pada murka kedua-dua ibu bapa”. (riwayat al-Hakim)
Kedudukan ibu adalah istimewa dalam Islam. Hadis Rasulullah SAW di atas tadi mengangkat kedudukan istimewa ibu sehingga berbakti kepada ibu mengatasi berbakti kepada orang lain, walau kepada bapa sekalipun.
Malah, Rasulullah SAW menyebut berbakti kepada ibu sebanyak tiga kali berturut-turut dalam hadis itu, barulah Baginda menyebut berbakti kepada bapa, sekali gus menunjukkan betapa besarnya jasa dan pengorbanan ibu terhadap anak.
Walau bagaimanapun, kita tidak seharusnya melupakan peranan bapa bagi menjamin keselesaan dan kebahagiaan hidup sesebuah keluarga.
Justeru, kita seharusnya menghormati dan menyayangi ibu kita tanpa mengabaikan tanggungjawab dan kasih sayang terhadap bapa.
No comments:
Post a Comment